E

No. Name Title Abstract
1. Ehsan Fansuree Mohd Surin (Dr.) Modal Insan, Persekitaran Perniagaan Dan Prestasi Syarikat Bagi Perusahaan Kecil Dan Sederhana (Pks) Di Malaysia: Kajian Perbandingan Antara Usahawan Bumiputera Dan Bukan Bumiputera Penyelidikan ini membuat perbandingan antara perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dimiliki oleh usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera dari segi modal insan, persekitaran perniagaan dan prestasi perniagaan di Malaysia. Sampel penyelidikan terdiri dari 91 usahawan Bumiputera dan 56 usahawan bukan Bumiputera dari kalangan tujuh industri pembuatan; makanan dan minuman, elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu, produk berasaskan getah, produk berasaskan plastik, tekstil, pakaian dan kulit serta industri kertas dan percetakan. Dengan menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata, borang kajiselidik telah dihantar ke PKS yang dikenalpasti ke seluruh Malaysia. Menerusi analisa data secara regresi hirarki, didapati bahawa (1) terdapat hubungan yang positif dan signifikan antara modal insan dan prestasi perniagaan bagi PKS Bumiputera, dan (2) terdapat hubungan yang positif dan signifikan antara modal insan dan prestasi perniagaan bagi PKS bukan Bumiputera. Manakala untuk menguji pengaruh persekitaran perniagaan sebagai penyederhana antara perhubungan antara modal insan dan prestasi perniagaan menerusi ujian regresi berganda penyederhana, didapati bahawa (1) persekitaran perniagaan tidak menyederhanakan perhubungan antara modal insan dan prestasi perniagaan bagi PKS Bumiputera, dan (2) persekitaran perniagaan tidak menyederhanakan perhubungan antara modal insan dan prestasi perniagaan bagi PKS bukan Bumiputera. Dapatan analisa ini juga menghasilkan satu penemuan baru yang empirik dimana persekitaran perniagaan tidak memainkan peranan sebagai penyederhana antara modal insan dan prestasi perniagaan terutama di negara membangun seperti Malaysia.